Kebaikan selingkuh atau curang dalam perhubungan…

Sepertinya ini sudah menjadi trend pada zaman ini… Spare tyre, part-time lover, sugar daddy, anak ikan, kekasih gelap dan walaupun apapun istilah lainnya yang merujuk kepada perselingkuhan atau curang…

Mahu lelaki atau perempuan, samada yang masih bujang atau telah bertunang malah yang telah berkahwin juga tanpa segan menjalinkan hubungan selingkuh…

Tidak dinafikan selingkuh ini mendatangkan banyak kebaikan kepada kita, antaranya…

1 :: Kita sentiasa berada dalam perasaan yang tidak pernah tenang kerana risau jika perbuatan kita diketahui oleh si dia.

2 :: Fikiran bercelaru memikirkan cara bagaimana untuk menyembunyikan perbuatan selingkuh itu dari diketahui oleh si dia.

3 :: Secara tidak langsung kita melatih diri untuk menjadi penipu dan pembohong. Dan ini tidak akan pernah ada sudahnya kerana setiap kali kita akan terus berbohong untuk menutup pembohongan yang sebelumnya.

4 :: Bertuahnya kita bila selingkuh kerana kita tidak akan pernah merasa nikmatnya dicintai dan mencintai, kerana yang ada hanya cinta yang pura-pura.

5 :: Akan tiba suatu masa untuk kita memilih diantaranya (teman-teman selingkuh) dan ketika itulah kita membuatkan diri sukar membuat pilihan dan keliru.

6 :: Dan bila kita telah memilih untuk bersama seseorang, perasaan risau dan buruk sangka sering mengganggu hubungan kerana takut kita juga menjadi mangsa selingkuhan si dia.

7 :: Kehilangan orang yang benar-benar menyayangi kita akibat dari perbuatan kita yang tidak menghargai dia.

8 :: Ditinggalkan orang yang benar-benar kita sayang samada kerana si dia juga selingkuh dengan orang lain atau dia mengetahui tentang hal selingkuh kita.

9 :: Yang pastinya kita tidak akan pernah merasa bahagia.

Entah dimana silapnya sehingga budaya ini menjadi ikutan…

Mungkin kerana pernah dipermainkan perasaan oleh orang lain sebelum ini, dan selingkuh menjadi agenda membalas dendam kepada orang seterusnya. Namun berbaloikah kita menghukum orang lain atas kesalahan yang tidak dilakukannya?

Mungkin kerana ingin dikenali, disanjung dan dipuja oleh ramai orang, dan selingkuh menjadi platfom untuk populariti. Namun banggakah kita dengan perbuatan salah yang kita lakukan? Popularkah kita bila suatu masa nanti kita menjadi cerita dari orang-orang yang pernah menjadi kekasih selingkuhan kita dulu?

Walau apapun alasannya, yang menjadi dasar pada selingkuh ini adalah sikap Khilaf kita sendiri… Naif pada hal perhubungan sesama manusia untuk menilai kasih dan sayang. Alpa pada keduniaan yang nyata sementara cuma. Ditakluki nafsu sehingga waras akal fikir diketepikan…

Selingkuh itu bukan sesuatu yang hadir secara kebetulan, namun ia adalah pilihan… Jika kita memilih untuk selingkuh, maka kita telah memilih untuk menikmati setiap ‘kebaikan’ darinya…

Sesungguhnya lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik, begitu juga perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik…

Yang terbaik dalam perhubungan datang dari kita

Dalam sesuatu perhubungan, selalunya kita mengharapkan yang terbaik dari si dia. Kita nak dia jadi seperti yang kita mahukan, yang sempurna buat kita. Dan bila si dia gagal atau tak menepati ciri yang kita mahukan, biasanya kita akan beralih kepada orang lain. Mencari kesempurnaan… Tapi kemudian bila orang lain itu juga tak menepati seperti yang kita harapkan, kita terus beralih dan beralih…

Sampai bila harus begitu?

Seseungguhnya kita tak akan pernah menemukan yang benar-benar sempurna dan terbaik, kerana tidak ada manusia di dunia ini yang benar-benar sempurna termasuklah diri kita sendiri. Apa yang terbaik sebenarnya ialah kita menjadikan diri kita yang terbaik buat si dia, bukannya cuba menjadikan dia yang terbaik buat kita.

Sekiranya setiap orang melakukan seperti ini, menjadi yang terbaik untuk orang lain maka tiada antara kita yang kurang sempurna. Inilah karma kehidupan…

setiap apa yang kita beri (samada baik atau buruk), ia pasti akan kembali kepada kita

Melepaskan seseorang yang kita rasa bukan yang terbaik buat kita, kadang-kadang hanya merugikan kita. Kerana tanpa kita sedar, mereka yang kita anggap tidak terbaik itulah yang benar-benar menyayangi kita. Apa yang membuatkan kita merasa mereka bukan yang terbaik, adalah apabila mereka menampakkan sikap yang sebenar kepada kita. Cinta yang sejati itu adalah apabila kita tanpa kompromi bersikap tidak berpura-pura di depan orang yang kita sayangi… Dan mungkin kesempurnaan yang kita nampak pada seseorang itu hanyalah sebuah kesempurnaan yang diada-adakan untuk meraih atau mendapatkan sesuatu dari kita.

Fikir-fikirkanlah… Mengapa begitu ramai yang dipermainkan cintanya kerana melihat hanya pada yang sempurna

Rindu itu sakit namun indah

Apabila kita merindui kekasih, itu adalah perkara biasa, malah ianya wajib untuk kita merindui orang yang kita cintai apabila si dia jauh dari sisi. Ada antara kita yang merasakan rindu itu menyakitkan dan dalam pada masa yang sama terbit perasaan indah dari hati yang ikhlas mencintai.

Seronok rasanya bila kita merindui seseorang walaupun ada terasa sakitnya, lebih seronok bila mengetahui yang si dia juga ternyata merindui kita. Pasti kita tersenyum bila terbaca SMS ‘I MISS YOU TOO’ dari si dia. Maka jika pasangan kita meluahkan perasaan rindunya pada kita, adalah lebih baik kita membalasnya dengan meluahkan perasaan yang sama, ini pasti akan membuat mereka tersenyum.

Biasanya bila kita merindui seseorang kita akan lihat gambar-gambar si dia, membaca semula SMS romantik dari si dia dan mengingat setiap kenangan bersama si dia. Ya, itu semestinya mampu membuatkan rasa rindu itu sedikit terubat.

Warkah cinta untuk jiwa

Warkah ini, aku tujukan untuk diriku dan sahabat-sahabatku yang tercinta yang InsyALLAH tetap mencintai ALLAH dan Rasul-NYA di atas segala nikmat di dunia ini. Kerana hanya cinta itu yang hanya dapat mengalahakan segala nikmat duniawi, cinta hakiki yang membuat manusia melihat segala nikmat dari sudut pandang berbeza, lebih bermakna dan indah.

Warkah ini, aku tujukan untuk hatiku dan hati sahabat-sahabatku yang tercinta yang kerap kali terisi oleh cinta selain dari-NYA. Untuk hati kami yang selalu terlena oleh indahnya dunia, yang terkadang melakukan sesuatu perkara bukan kerana-NYA, lalu di ruang hati kami yang kelam ini merasa senang dilihat dan ditinggikan dengan pujian orang lain, entah di mana kami meletakkan keikhlasan itu. Maka saat merasakan kekecewaan dan kelelahan kerana melakukan sesuatu bukan kerana keikhlasan, sedangkan ALLAH tidak pernah menanyakan hasil melainkan kesungguhan dan ikhlasnya hati kami.

Warkah ini, aku tujukan untuk jiwaku dan jiwa sahabat-sahabatku yang tercinta yang telah mulai lelah menapak ke jalan-NYA, kerana seringkali mengeluh, merasa dibebani menjalani kehidupan dengan mulia di bumi ALLAH. Sedangkan tiada kesakitan, kelelahan dan kepayahan yang dirasakan oleh seorang hamba melainkan ALLAH akan mengampuni dosa-dosa kami.

Warkah ini, aku tujukan untuk rohku dan roh sahabat-sahabatku yang tercinta yang terkikis oleh helah dunia, serta membiarkan fitrahnya tertutup oleh maksiat yang dinikmati, entah di mana kami meletakkan kejujuran. Dan kini terabailah sudah nurani yang bersih, saat ibadah kami hanyalah rutin semata, saat jasmani dan fikiran kami hanyalah disibukkan demi duniawi semata, saat wajah kami menampakkan kebahagian yang palsu belaka.

Warkah ini, aku tujukan untuk diriku dan diri sahabat-sahabatku yang tercinta yang terkadang sombong dan bangga pada diri kami sendiri. Sesungguhnya tiada satu pun yang membuatkan kami lebih di hadapan-NYA melainkan ketakwaan. Padahal kami menyedari, pada tiap-tiap jiwa pasti akan merasa mati, namun kami masih bergelut dengan kefanaan.

Warkah ini, aku tujukan untuk hatiku dan hati sahabat-sahabatku yang tercinta yang mulai mati, saat tiada kami merasa getarnya menyebut Asma ALLAH, saat tiada kami menyesal ketika kebaikan berlalu begitu saja, saat kami tiada merasa takut pada-NYA ketika maksiat terjadi, dan saat tiada kami merasa berdosa menzalimi diri sendiri dan orang lain.

Warkah ini, aku tujukan untuk jiwaku dan jiwa sahabat-sahabatku yang tercinta yang masih tersimpan sedikit cahaya. Ya ALLAH, jangan KAU padamkan cahaya itu dari jiwa kami. Maka kumpulkan cahaya-cahaya yang sedikit itu hingga mampu menerangi wajah-wajah kami. Ya ALLAH, tetapkanlah hati kami pada agama-MU, pada rasa taat dan dakwah ke jalan-MU.

Warkah ini, buat aku dan sahabat-sahabatku yang tercinta. Semoga dapat membangkitkan iman kami yang sedang mati. Semoga bisa kami kembalikan semangat itu sebelum kami akhiri perjalanan di bumi ALLAH yang sementara ini.

Wallahualam

Cinta pandang pertamanya

Aku mengenalinya sudah hampir 5 tahun. Sejak pertemuan pertama kami mula berteman, cuma teman biasa. Berbalas mesej dan sesekali dia menghubungi melalui panggilan suara. Suatu hari aku harus berpindah ke daerah lain. Masa berlalu, dia masih berhubung denganku, aku mula sedar ada sesuatu padanya. Aku dapat membaca kalau dia menaruh hati kepadaku, cuma mungkin dia tidak tahu bagaimana untuk mengatakannya.

Di daerah lain, aku mengenali seseorang dan berpacaran. Dia, aku mulai abaikan. Namun masih sesekali dia menghantarkan mesej-mesej yang comel, dan setiap kali hari lahirku dia tak pernah lupa.

Masa terus berlalu. Aku menghadapi krisis dalam hidupku, sebenarnya dengan teman lelakiku. Sangat mengganggu emosi dan fikiranku. Aku harus segera pergi dari daerah ini. Aku mula menghubungi dia semula, gembiranya dia ketika itu dan masih melayaniku seperti dahulu. Aku bercadang untuk pulang ke kampung halaman, menenangkan fikiran, tapi sebelumnya aku ingin melawat dia, kerana dia juga berhajat menemui aku. Katanya, ada sesuatu yang hendak diberitahu.

Tiba hari kami berjumpa, itulah kali pertama kami keluar bersama. Dia ku lihat sangat teruja. Lucu, dalam aku masih merasa sedih dengan krisis yang melanda, dia membuat aku tersenyum. Perjumpaan itu berakhir, namun tiada benda yang dia katakan padaku. Mungkin dia terlupa kerana terlalu gembira.

Hari aku pulang ke kampung, dia menghubungiku. Aku bertanyakan perkara yang dia hendak beritahu, tapi dia enggan menyatakan dalam telefon melainkan bersemuka. Sepanjang perjalanan dia kerap menghantar mesej bertanyakan aku sehinggalah aku selamat sampai ke rumah.

Beberapa hari pertama aku berada di kampung dia masih menghubungiku, namun kemudian mula jarang-jarang. Kerana aku sering tidak membalas mesej dan mengangkat panggilannya.

Selepas beberapa bulan, aku kembali ke bandar kerana telah mendapat pekerjaan di sana. Aku tidak memberitahunya, malah sesiapa pun tentang kepulanganku. Hari terus berlalu menjadi minggu, minggu menjadi bulan, dia masih menghantar mesej-mesej comel, seperti biasa aku jarang membalas.

Suatu hari aku mendapat mesej dari nombor yang tidak dikenali, aku berasa sedikit pelik kerana pengirimnya mengenali aku. Rupa-rupanya itu adalah dia. Dia menghubungiku dari panggilan suara, bertanyakan khabar dan berita aku sekarang. Aku sekadar memberitahu aku kini berada di bandar, namun tidak memberikan lanjut kepadanya. Sejak dari itu dia sering menghubungi aku lagi, kadang-kadang aku terlalu sibuk dengan kerja dan tidak mengendahkan panggilannya. Tapi pada masa yang sama aku telah berbaik-baik dengan bekas kekasihku, namun tidak lama bila kami dilanda krisis sekali lagi. Bukan hanya bekas kekasih, malah dia dan beberapa kenalan lelaki yang lama juga aku tidak endahkan lagi.

Beberapa bulan aku cuba memberi peluang pada beberapa lelaki, walaupun tidak bersua. Mencari keserasian, mencari orang yang mencintai dan menyayangi aku, namun semuanya menghampakan. Entah mengapa terlintas di fikiran aku untuk menghubungi dia lagi. Masih seperti dulu, dia tetap melayani aku dengan ramah dan mesra. Bermula dari itu kami jadi lebih sering berhubung, setiap ada kesempatan dia mesti menghubungiku dari panggilan suara dan kadang-kadang aku yang meminta dia menghubungiku.

Tidak berbalas pesanan ringkas atau mendengar suaranya membuatkan aku rindu. Setiap hari kami menjadi semakin mesra, bila sesekali dia membahaskan panggilan ‘sayang’ padaku, hatiku jadi berbunga.

Sebenarnya dia tidak pernah melamarku menjadi kekasih, namun perasaan yang terwujud dan perhubungan kami sangat rapat seperti pasangan yang sedang berkasih.

Suatu hari berlaku krisis antara kami, sedikit salah faham yang membuatkan aku merajuk padanya. Dia berusaha memujukku, dan ketika itulah baru dia menyatakan perasaan kepadaku. Selama beberapa tahun kami berkenalan, dia mula jatuh hati pada pertemuan pertama kami, cuma hatinya yang selalu berat untuk memberitahu aku. Aku terpujuk dan terharu. Aku juga menyayangi dia dan selama ini menunggu dia meluahkannya. Hatiku terubat…

Derai airmata sesalan

Aku membencinya, itulah yang selalu aku bisikkan dalam hatiku hampir sepanjang kami bersama. Meskipun menikahinya, aku tak pernah benar-benar menyerahkan hatiku padanya. Berkahwin kerana paksaan orang tua, membuatku membenci suamiku sendiri.

Walaupun berkahwin secara paksa, aku tidak pernah menunjukkan sikap benciku. Meskipun membencinya, setiap hari aku melayaninya sebagaimana layaknya tugas seorang isteri. Aku terpaksa melakukan semuanya kerana tiada pilihan lain. Beberapa kali muncul keinginan meninggalkannya, tapi aku tidak punya sumber kewangan lain dan sokongan sesiapa. Kedua orang tuaku sangat menyayangi suamiku kerana menurut mereka, suamiku adalah lelaki paling sempurna buat satu-satunya anak perempuan mereka ini.

Selepas berkahwin, aku menjadi seorang isteri yang teramat manja. Aku lakukan setiap apa sesuka hatiku. Suamiku juga memanjakan aku sedemikian rupa. Aku menyerahkan hidupku padanya, sehingga semua perkara di uruskannya sendiri, membuatku bahagia dengan menuruti setiap keinginanku.

Di rumah kami, akulah ratunya. Tidak ada seorang pun yang berani melawan. Jika ada walaup sedikit pun kesilapan, aku selalu menyalahkan suamiku. Aku tak suka tualanya yang basah diletakkan di atas katil, aku tidak suka dia meletakkan sudu bekas susu di atas meja, aku benci ketika dia menggunakan komputerku meskipun hanya sebentar untuk menyiapkan tugasannya. Hampir setiap perkara yang dia lakukan mendatangkan rasa tidak suka dalam hatiku dan menjadi kritikanku.

Sepanjang kami berkahwin, aku telah memilih untuk tidak mempunyai anak. Meskipun aku tidak bekerja, tapi aku tidak mahu mengurus anak. Pada mulanya dia bersetuju dan aku mengambil pil perancang. Tapi rupanya dia menyembunyikan keinginannya untuk mempunyai anak. Sehingga suatu hari aku terlupa memakan pil perancang dan walaupun suami ku tahu namun dia berdiam diri membiarkannya. Aku mengandung dan hanya menyedarinya selepas empat bulan, doktor juga enggan aku menggugurkan kandungan itu.

Itulah kemarahan ku yang terbesar padanya. Kemarahan semakin bertambah bila mengetahui aku mengandungkan anak kembar dan harus melalui kelahiran yang sukar. Aku mendesak suami melakukan pembedahan vasektomi, supaya aku tidak mengandung lagi. Dengan patuh ia melakukannya, kerana aku mengugut untuk meninggalkannya bersama kedua anak kami.

Waktu berlalu sehingga anak-anak kami berusia lapan tahun. Seperti pagi-pagi sebelumnya, aku bangun paling lambat. Suami dan anak-anak sudah menungguku di meja makan. Seperti biasa, dialah yang menyediakan sarapan pagi dan menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah. Pagi itu dia mengingatkan aku tentang hari lahir ibuku. Aku hanya menjawab dengan anggukkan tanpa mempedulikan kata-katanya yang mengingatkan aku tentang peristiwa tahun sebelumnya, ketika itu aku sibuk bersama rakan-rakan membeli-belah dan tidak hadir ke majlis hari lahir ibuku. Ya! Aku merasa teraniaya kerana dipaksa berkahwin, kerana itu juga aku turut membenci kedua orang tuaku.

Sebelum ke pejabat, biasanya suamiku mencium pipiku saja dan diikuti oleh anak-anak. Tetapi hari itu, dia juga memelukku sehingga anak-anak mengejeknya. Aku berusaha mengelak dan melepaskan pelukannya. Meskipun akhirnya aku turut tersenyum bersama anak-anak.

Dia kembali menciumku hingga beberapa kali di depan pintu, seakan-akan berat untuk pergi.

Sebaik mereka pergi, aku keluar seperti biasa. Menghabiskan masa bersama teman-teman di spa, itulah hobiku. Aku tiba di salon kegemaranku beberapa jam kemudian. Hari itu kebetulan aku bertemu dengan seorang rakan yang tidak begitu rapat dan tidak aku sukai. Kami berbual seperti tiada apa-apa sambil saling menunjukkan kehebatan masing-masing.

Semasa ingin membayar di kaunter spa, aku sangat terkejut bila menyedari dompetku tertinggal di rumah. Biasanya dompetku selalu berada di dalam beg tangan. Sambil cuba mengingati di mana aku meletakkan dompet itu aku menghubungi suamiku dan bertanya.

“Maaf sayang, kelmarin Farhan meminta duit saku dan kebetulan abang tak ada duit kecil. Jadi abang ambil dari dompet sayang. Maaf, abang terlupa untuk meletakkan dompet tu semula ke dalam beg tangan,” katanya dengan nada yang lembut dan bersalah.

Dengan perasaan yang teramat marah, aku membebel dengan kasar, ku segera memutuskan panggilan sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya. Tidak lama kemudian, dia menghubungi ku semula, biarpun ketika masih sedang merasa geram namun aku tetap menyambut panggilannya dengan nada yang membentak.

“Apalagi?!”

“Sayang, abang pulang sekarang ambilkan dompet tu. Nanti abang hantar pada sayang. Sayang kat mana sekarang ni?” soalnya dengan pantas kerana bimbang aku memutuskan panggilan lagi.

Aku menyebut nama spa tempat aku berada, kemudian memutuskan panggilan. Dengan kasar aku memberitahu yang suamiku akan datang membayar bil spa. Sebenarnya aku boleh membayar kemudian bil spa tersebut kerana aku merupakan pelanggan tetap dan pemilik spa itu juga adalah kenalan rapatku, namun kerana ‘musuh’ku kebetulan berada di sana membuatkan aku malu untuk berhutang.

Hujan turun dengan lebat ketika aku melihat ke luar dan berharap suamiku segera sampai. Minit berlalu menjadi jam namun suamiku masih belum muncul. Aku semakin menjadi tidak sabar, berkali-kali aku cuba menghubungi suamiku tetapi tidak diangkat. Biasannya baru dua kali dering suamiku pasti segera menyambut. Aku mulai rasa tidak selesa dan marah.

Aku terus mencuba hingga panggilan ku diangkat. Sebelum sempat aku membentak, terdengar suara yang lain yang bukan suara suamiku. Aku terdiam sebelum suara asing itu berkata, “Selamat tengah hari. Apakah puan ini isteri kepada En Ismadi?”

“Ya,” jawabku.

Lelaki asing itu memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis. Dia memberitahu yang suamiku sedang dirawat di hospital kerana kemalangan.

Masa itu aku hanya terdiam dan berterima kasih. Ketika panggilan itu putus, aku tertunduk dan bingung. Tanganku menggengam erat telefon yang aku pegang dan beberapa pekerja spa menghampiriku dan bertanya hal yang terjadi hingga wajahku keletihan pucat.

Entah bagaimana akhirnya aku berada di hospital. Entah bagaimana juga seluruh keluarga kemudian menyusul ke hospital. Aku yang hanya terdiam seribu bahasa menunggu suamiku di depan pintu bilik ICU. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan kerana sebelum ini segala-galanya diuruskan oleh suamiku.

Akhirnya setelah menunggu beberapa jam, seorang doktor keluar dari bilik ICU dan menyampaikan berita. Suamiku telah ‘tiada’. Dia ‘pergi’ bukan disebabkan kemalangan, tetapi disebabkan stroke. Selepas mendengar kata-kata doktor itu, aku sibuk menenangkan dan menguatkan semangat kedua-dua orang tua kami. Tidak sedikit pun air mata yang keluar dari mataku.

Anak-anak kami yang merasa terpukul dengan ‘kehilangan’ ayah mereka, memelukku dengan erat. Namun tidak sedikit pun kesedihan mereka berjaya menumpahkan air mataku.

Ketika jenazah dibawa ke rumah dan aku duduk dihadapannya, aku termangu menatap wajah itu. Kusedari, inilah pertama kali aku benar-benar melihat wajahnya yang kelihatan seperti sedang tidur nyenyak. Kudekati wajahnya dan kutatapi. Masa itulah dadaku menjadi sesak mengenangkan perkara-perkara yang telah aku berikan kepadanya sepanjang 10 tahun kami bersama.

Kusentuh perlahan wajahnya yang telah dingin dan kusedari itulah kali pertama aku menyentuh wajah itu yang selalu dihiasi senyuman sebelum ini. Airmataku tiba-tiba berderai dengan deras, mengaburkan pandanganku.

Aku mengusap airmataku agar tidak menghalangi tatapan terakhirku padanya. Aku ingin mengingat pada setiap bahagian wajahnya agar kenangan manis bersamanya tidak terhapus. Tapi aku tak mampu menahannya, airmata semakin deras membanjiri mata dan pipiku. Peringatan dari Imam Masjid juga tidak mampu membuatku berhenti menangis. Aku berusaha menahannya, namun dada dan fikiran menjadi sesak mengenangkan apa yang telah aku buat terhadapnya sepanjang kami bersama dan pada kali terakhir kami berbicara. Derai airmata sesalanku kerana membenci dan mengabaikannya sebagai seorang suami. Derai airmata cinta yang baru aku sedari…

Aku memohon kepada Tuhan

Aku memohon kepada Tuhan untuk menyingkirkan penderitaan ku.
Tuhan menjawab, “Tidak. Itu bukan untuk Aku singkirkan, tetapi agar kau mengatasinya”

Aku memohon kepada Tuhan untuk menyempurnakan kecacatanku.
Tuhan menjawab, “Tidak. Jiwa adalah sempurna, tubuh hanya sementara”

Aku memohon kepada Tuhan untuk menghadiahkanku kesabaran.
Tuhan menjawab, “Tidak. Kesabaran itu hasil dari kesulitan. Ia bukan dihadiahkan, tapi untuk kau pelajari”

Aku memohon kepada Tuhan untuk menganugerahkanku kebahagiaan.
Tuhan menjawab, “Tidak. Aku anugerahkan dikau dengan berkat. Kebahagiaan itu bergantung kepadamu”

Aku memohon kepada Tuhan untuk menjauhkan dariku penderitaan.
Tuhan menjawab, “Tidak. Penderitaan menjauhkanmu dari duniawi dan mendekatkan kau kepada Aku”

Aku memohon kepada Tuhan untuk menumbuhkan rohku.
Tuhan menjawab, “Tidak. Kau harus menumbuhkannya sendiri, tetapi Aku akan memangkasnya agar kau berbuah”

Aku memohon kepada Tuhan segala hal sehingga aku mampu menikmati hidup.
Tuhan menjawab, “Tidak. Aku akan memberikan kau hidup, sehingga kau dapat menikmati segala hal”

Aku memohon kepada Tuhan membantuku mengasihi orang lain, seperti Ia mengasihiku.
Tuhan menjawab, “Akhirnya kau mengerti. HARI INI ADALAH MILIKMU MAKA JANGAN MENSIA-SIAKANNYA. Bagi dunia kamu mungkin hanya seseorang. Namun bagi seseorang, kamu adalah dunianya”

Dia yang terbaik

Ketika cinta bertandang dalam hati…
Sekadar memberi luka dan derita…
Aku terdiam dan merenungi…

Apa erti CINTA?

Aku tak berkuasa menahan air mata…
Kata-kata ku pada malam itu…
Tak sanggup ku kenang semula…
Sakit hatinya, sakit juga yang ku rasa…
Bila saja Tuhan memaafkan aku…

Sekiranya aku ingin kembali padanya, mahukah dia memaafkan aku?

Sekarang aku mula menyedari…
Betapa dia yang terbaik…
Dan selalu bertahta di hatiku…

Bagaimana membina persahabatan yang baik

1 :: Pilih orang yang mempunyai minat yang sama dengan anda supaya anda mempunyai persamaan, tetapi jangan ketepikan orang yang langsung tidak mempunyai persamaan dengan anda. Bersikap terbuka adalah lebih baik.

2 :: Ingatkan pada satu pedoman penting iaitu berlaku baik terhadap orang lain sepertimana anda mahu diperlakukan dengan baik. Sekiranya anda menghormati orang lain, orang lain juga akan menghormati anda.

3 :: Sedarlah bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai sifat aneh dan kekurangan, dan menerima kekurangan satu sama lain adalah kunci persahabatan yang baik.

4 :: Hargai pendapat satu sama lain.

5 :: Sedarlah bahawa kawan yang paling rapat sekalipun tidak dapat bersama 24 jam. Bina minat-minat yang lain dan jangan cemburu apabila kawan anda mempunyai minat-minat yang lain juga.

6 :: Komunikasi sangat penting. Orang lain, mahupun kawan tidak akan dapat membaca fikiran anda. Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan persahabatan anda, suarakan.

7 :: Jangan biarkan faktor luaran seperti tekanan (stress) menjejaskan persahabatan anda. Kawan yang baik akan membenarkan anda melepaskan perasaan kepada mereka, tetapi jangan hanya menggunakan mereka sebagai tempat melepaskan perasaan saja dan sebagai balasan anda juga harus bersedia mendengar luahan mereka juga.

8 :: Belajarlah dari satu sama lain.

9 :: Jangan mengata di belakang kawan anda.

10 :: Pilih kata-kata anda dengan bijaksana kerana dengan kata-kata itu manusia mudah terpengaruh.